Pemuda UMNO cari jalan mudahkan proses keahlian parti
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO akan mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan proses permohonan menjadi ahli parti tersebut.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, ini kerana proses yang sedia ada agak menyukarkan orang ramai untuk menyertai parti tersebut terutama golongan muda.
“Ada cadangan untuk lihat balik proses nak jadi ahli UMNO dipermudahkan. Sekarang ini kita tidak boleh lagi cara lama nak kena hantar borang dan cop.
“Tetapi dengan teknologi baharu, kita akan cari solusi, langkah penyelesaian bagaimana nak mudahkan cara anak muda jadi ahli UMNO,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama pemuda parti di sini pada Selasa.
Akmal turut memaklumkan, bagi meningkatkan sokongan terhadap parti itu, UMNO turut menfokuskan kepada pelajar sekolah selain penuntut universiti.
Jelasnya, biro pengkhadiran dan latihan akan bertanggungjawab untuk menguruskan perkara tersebut.
“Sedia maklum bila undi 18 tahun ini, kalau menjelang PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16), adik adik kita (sekolah) boleh jadi pengundi. Jadi ia fokus kita,” ujarnya.
Jelas beliau, setiap program yang dianjurkan akan melalui proses yang ditetapkan oleh pihak universiti dan sekolah.
“Sebagai pemimpin, nak masuk kita tidak boleh langgar undang-undang. Jadi kena kreatif, bagaimana? Ia tertakluk kepada biro kami.
“Langgar undang-undang itu bukan pemuda. Nak masuk dengan berhemah supaya kita dapat adakan hubungan baik antara pemuda dan universiti serta sekolah,” katanya.
Selain itu, menurut Akmal, Pemuda UNNO turut bersetuju untuk mewujudkan semula biro undang-undang dan pengaduan awam bagi mendengar suara rakyat.
“Ini kerana kita merasakan bahawa pemuda UMNO perlu menjurai suara rakyat waima suara itu adalah bertentangan keputusan kerajaan.
“Selagi mana ia suara rakyat, jadi biro pemuda kekal konsisten membawa suara rakyat untuk pembelaan yang sebaiknya,” jelasnya.
Tambah beliau, sayap parti itu turut mengambil ketetapan untuk mewajibkan semua Pemuda UMNO Bahagian bagi membuat lantikan ahli yang berumur 25 tahun kebawah.
“Wajib sekurang-kurangnya lantik seorang yang berumur bawah 25 tahun,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!