Harimau Selatan baham Seladang di Ipoh
SEPERTI dijangka, pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah menewaskan Perak FC pada perlawanan Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak pada Selasa.
Kemenangan bergaya 5-0 itu sekaligus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas mencipta kemenangan berturut-turut musim ini.
Seperti dijangka, minit awal perlawanan menyaksikan pelawat lebih banyak menguasai bola berbanding tuan rumah dengan beberapa percubaan.
Hasilnya, JDT tidak perlu menunggu lama untuk menghasilkan jaringan apabila seawal minit ke-5 pemain Perak FC, Hasnul Zaim tertampan ke gawang sendiri selepas pemain JDT, Arif Aiman membuat percubaan.
Serangan bertali arus kemudiannya terus dilancarkan JDT ke kubu Perak FC untuk mencari gol tambahan sehingga memaksa pemain tuan rumah bertahan di kubu sendiri.
Memasuk minit ke-23, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Leandro Velazquez dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahan Perak, Fadhil Idris.
Peluang itu tidak disia-siakan Leandro yang menyudahkan sepakan penalti tersebut menewaskan penjaga gol Perak FC, Bryan See sekaligus JDT mendahului tuan rumah dengan 2-0.
Kad kuning pertama perlawan dilayangkan pengadil, S Logeswaran setelah penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak mengasari pemain lawan, Fernando Forestieri
Ketika separuh masa pertama hampir tamat, JDT menambah lagi derita Perak FC apabila gawang mereka bolos lagi menerusi rembatan Diogo Santo sekaligus menyaksikan kedudukan berubah kepada tiga gol tanpa balas.
Bersambung babak kedua, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari membawa masuk dua pemain iaitu Bergson Da Silva bersama Shahrul Saad bagi menggantikan Jordi Amat dan Diogo Santo.
Pasukan pelawat meneruskan rentak penguasaan bola dengan beberapa serangan dilancarkan ke kawasan pertahan Perak FC.
JDT kemudiannya membuat dua lagi pertukaran dengan mengeluarkan Matthew Davies dan Forestieri diganti dengan Akhyar Rashid serta Syahmi Safari.
Minit ke-66, gawang Perak bolos lagi menerusi jaringan pemain gantian JDT Bergson yang menyudahkan hantara Arif Aiman untuk gol ke-4 perlawanan.
Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain termasuk dua pemain import, Christian Obiozor dan Luciano Guaycochea serta pemain berpengalaman, Wan Zack Haikal bagi mengatur strategi baharu.
Ketika perlawanan memasuki minit tambahan, JDT terus berpesta gol dengan jaringan kelima menerusi sepakan percuma Leandro menewaskan Bryan See.
Keputusan kekal memihak kepada JDT dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Perak sehingga tamat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!