Op Tropicana buka mata banyak pihak
KEJAYAAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa menerusi Op Tropicana ternyata membuka mata banyak pihak.
Bukan semata-mata memberkas dalang sindiket dikepalai oleh warga United Kingdom (UK) tetapi pada masa sama turut membongkar rangkaian dan individu yang bersekongkol.
Berdasarkan pendedahan, terdapat lima buah bank utama dalam radar SPRM untuk tindakan siasatan sindiket penipuan tersebut.
Pegawai di lima bank berkenaan berperanan mewujudkan akaun untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.
Pegawai bank itu juga dipercayai akan dirasuah kira-kira RM1,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka tanpa mengikut prosedur. Namun, siasatan tersebut tertumpu kepada individu, bukannya institusi kewangan.
SPRM dalam kenyataan pada 18 Mac lalu berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguat kuasa lain bagi memerangi sindiket penipuan antarabangsa.
Apa yang boleh disimpulkan adalah rangkaian sindiket ini terdapat di beberapa negara termasuk Malaysia. Sindiket beroperasi di premis yang dianggap ‘selamat’ untuk dijadikan boiler room atau pusat panggilan.
Di sini ada beberapa peranan warga tempatan, malah boiler room juga berisiko untuk difrancaiskan dan dijadikan pusat panggilan penipuan lain.
Ia terbukti apabila serbuan kedua SPRM pada 28 Februari lalu di sebuah pejabat mewah di ibu negara yang akan dijadikan pusat panggilan oleh sindiket penipuan pelaburan dan mata wang kripto.
Ia susulan serbuan boiler room pertama pada 21 Februari, dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan serta Filipina.
Mereka dipercayai telah memperdaya mangsa sejak 2019 dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan tidak wujud dan syarikat tersebut sebenarnya hanyalah rekaan semata-mata.
Syabas diucapkan atas tindakan serius SPRM dalam usaha menangani jenayah penipuan dalam talian ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!