Dialog Siswa medan cambah idea anak muda
SHAH ALAM - Sinar Harian dengan tagline Telus & Tulus meneruskan peranan sebagai penyambung lidah masyarakat dengan menganjurkan program Dialog Siswa bermula esok.
Program tersebut akan menjadi wadah kepada golongan mahasiswa untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada pemimpin politik sama ada blok kerajaan mahupun pembangkang.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, Dialog Siswa juga boleh menjadi medan terbaik buat anak muda di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyampaikan pandangan mereka secara terus kepada pemimpin negara.
Zamri berkata, walaupun wujud banyak platform media sosial yang boleh menghubungkan mereka, namun pertemuan bersemuka tetap pendekatan terbaik untuk berkomunikasi dan perkara ini sewajarnya diambil peluang oleh semua lapisan anak muda.
“Kita sedar anak muda ada banyak idea yang bagus untuk membangunkan negara. Sayang kalau idea dan suara mereka tidak didengari dan dipanjangkan kepada ahli politik agar isu dan keluhan masyarakat dapat diselesaikan pada peringkat lebih tinggi.
“Dialog Siswa boleh jadi medan kepada mereka mengemukakan cadangan, pandangan malah kritikan kepada pemimpin yang berada di atas bukan bererti ruang untuk mengkritik kepimpinan atau kerajaan sebaliknya program ini adalah wacana pemikiran yang patut diberikan tempat dalam budaya masyarakat hari ini,” katanya pada Selasa.
Zamri berkata, Sinar Harian juga menganjurkan pelbagai program lain yang boleh ditonton masyarakat antaranya seperti Wacana Sinar Harian, Berani Semuka, Sinar Live dan yang terbaharu adalah Town Hall Rakyat bersama pemimpin.
“Akhbar ini sentiasa memberikan ruang kepada pelbagai pihak dan segmen untuk mengutarakan idea-idea dan adakalanya berbeza pendapat.
“Untuk mencapai status negara maju, aktiviti percambahan idea perlu digiatkan dan cara untuk melakukannya adalah melalui dialog,” tambahnya.
Dialog Siswa akan menemui penonton bermula 6 April ini jam 4 petang di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Edisi sulung akan menampilkan bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sebagai tetamu jemputan.
Program ini terbuka kepada orang ramai dan mereka boleh klik pautan ini untuk pendaftaran go.sinar.la/436bPcE dan majlis berbuka puasa disediakan penganjur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!