Nasi talam percuma juadah berbuka di UTeM

Sebahagian pelajar UTeM yang berbuka dengan nasi talam.
Sebahagian pelajar UTeM yang berbuka dengan nasi talam.
A
A
A

MELAKA - Menyedari tidak semua pelajar berkemampuan dan bernasib baik, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan nasi talam percuma kepada pelajar sebagai juadah berbuka.

Naib Canselor UTeM, Dr Massila Kamalrudin berkata, lebih menarik juadah nasi talam itu disediakan secara bergotong-royong membabitkan seramai 1,500 kakitangan universiti awam itu dan turut dibantu sebahagian sukarelawan pelajar.

Menurut Massila, uniknya juadah yang telah siap dimasak akan dihidangkan di dalam talam dan disusun untuk dinikmati bersama-sama ketika berbuka.

Katanya, biarpun kakitangan sibuk dengan tugas harian masing-masing termasuk pensyarah, namun tidak menghalang mereka meluang masa untuk menyediakan juadah berbuka terutama kepada pelajar golongan B40.

"Nasi talam ini disediakan sepanjang Ramadan dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM130,000 melalui Pusat Islam UTeM, Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar dan Tabung Amal Jariah UTeM.

'Nasi Talam' yang disediakan kepada pelajar sepanjang Ramadan ini.
'Nasi Talam' yang disediakan kepada pelajar sepanjang Ramadan ini.

"Penyediaan juadah iftar ini juga dibiayai dengan dana yang diperolehi hasil daripada sumbangan dan kutipan dari dalam kalangan kakitangan UTeM serta pelbagai lapisan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Jelasnya, sehingga kini program berkongsi rezeki itu berjalan lancar, seiring dengan objektif program untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang istimewa untuk semua pelajar dan kakitangan UTeM.

Ujarnya, pada masa yang sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program itu secara konsisten.

Kakitangan UTeM bergotong-royong menyediakan 'Nasi Talam' sebagai menu berbuka untuk pelajar.
Kakitangan UTeM bergotong-royong menyediakan 'Nasi Talam' sebagai menu berbuka untuk pelajar.

Katanya, penganjurannya mampu memanfaatkan ruang dan peluang yang ada agar bersama menikmati keberkatan dan kasih Ramadan kepada semua.

"inilah medan untuk menzahirkan hikmah memberi dan menerima antara kakitangan dan pelajar seterusnya menjalin ukhwah berpanjangan.

"Harap inisiatif ini terus memberikan manfaat buat pelajar UTeM terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!