OKU buta mata namun celik hati
SHAH ALAM - Meskipun mempunyai kekurangan dari segi penglihatan, namun ia tidak menghalang 32 orang kurang upaya (OKU) untuk menyertai Majlis Khatam al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus (SI).
Meneruskan tradisi sam-butan Nuzul Quran, program itu akan diadakan pada 7 April bermula jam 5 petang di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini bertemakan ‘Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum’.
Berbeza dengan penganjurannya pada tahun lalu yang meraikan 15 peserta kanak-kanak, Khatam al-Quran 2.0 menampilkan 32 warga OKU penglihatan sebagai peserta.
Menurut Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin, peserta yang dipilih adalah dalam kalangan ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dan Yayasan Maghfirah.
“Pemilihan peserta terdiri daripada warga OKU tanpa peringkat umur yang telah tamat membaca 30 juzuk al-Quran.
“Walaupun mereka dilahirkan cacat penglihatan, namun hati mereka sangat celik lantas berupaya membaca dan menghafaz al-Quran dengan sempurna.
“Ia adalah bentuk tauladan terbaik bagi kita yang normal untuk sama-sama menjadikan al-Quran sebagai pedoman kehidupan,” jelasnya.
Beliau berkata, pada program yang turut menerima sokongan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) selaku rakan strategik itu, dua orang mualim yang bertauliah akan membimbing peserta ketika acara berlangsung.
Menurutnya, sebagai tanda penghargaan, setiap peserta akan diberikan sijil berserta senaskhah al-Quran dan beberapa hadiah iringan lain.
“Kami berharap agar majlis ini memberi inspirasi kepada Muslimin seluruhnya untuk menjadikan al-Quran dan tafsir al-Quran sebagai bahan bacaan utama serta sumber rujukan mereka.
“Semoga program ini berupaya menggalakkan umat Islam daripada segenap generasi mencintai warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW, seterusnya dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan kepada kehidupan kita,” katanya.
Majlis tersebut akan dipancarkan secara langsung melalui semua platform media sosial Sinar Harian termasuk Facebook Sinar Islam Plus, SinarPlus dan Sinar Bestari.
Sinar Islam Plus sentiasa berusaha memartabatkan keindahan agama suci ini menerusi apa juga platform media tidak kira medium cetak mahupun media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!