Donald Trump mengaku tidak bersalah 34 dakwaan jenayah
NEW YORK - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan jenayah.
Beliau mencatat sejarah sebagai bekas Presiden AS yang pertama didakwa di mahkamah di Manhattan, di sini, berkaitan pembayaran ‘wang menutup mulut’ kepada pelakon filem ‘lucah’ Stormy Daniels.
Mengenakan persalinan suit biru gelap dipadankan dengan tali leher merah, Trump tenang duduk di kerusi dan diapit oleh barisan peguam belanya.
“Tidak bersalah,” kata Trump, 76, ketika ditanya pemberita mengenai pengakuannya seperti dilaporkan portal berita antarabangsa Reuters.
“Kami akan melawannya. Kami akan melawannya sebaik yang mungkin,” kata Todd Blanche yang juga peguam Trump kepada pemberita, sambil memaklumkan anak guamnya sangat kecewa, terkilan dan marah dengan dakwaan yang dibuat ke atasnya.
“Bagaimanapun, apa yang dapat saya katakan ialah – beliau sangat bersemangat. Dan hal ini (tuduhan) tidak akan menghentikan beliau (mencari keadilan) dan hal ini juga tidak akan membuatkan beliau berdiam diri. (Bahkan) ini juga apa yang telah yang dijangkakan beliau,” tambah Blanche.
Hakim menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pendengaran semula kes serta tidak mengeluarkan arahan perintah gag kepada mana-mana pihak.
Sebahagian daripada bukti dakwaan ke atas Trump itu diperoleh melalui rakaman audio pada September 2016 yang mana beliau dan barisan peguamnya membincangkan cara untuk meredakan skandal berkenaan, tegas pendakwaan.
Sementara dalam dokumen mahkamah pula berkata, Trump seperti kedengaran berkata: "Jadi, apa yang kita perlu bayar untuk dapatkan ini.”
Trump yang menyertai pemilihan Presiden AS 2024 di bawah parti politik Republikan, hanya mendiamkan diri semasa memasuki bilik persidangan sebelum meninggalkannya sejam kemudian.
Beliau, sebelum ini turut menyifatkan pertuduhan ke atasnya sebagai ‘penganiayaan politik’.
Sekiranya didapati bersalah atas semua pertuduhan, Trump bakal berdepan hukuman lebih 100 tahun penjara di bawah undang-undang New York, namun, tempoh hukuman yang sebenar perlu dijalani sekiranya beliau disabitkan bersalah pula akan menjadi jauh lebih rendah.
Trump meninggalkan kediamannya Trump Tower, New York dengan diiringi pasukan polis menuju mahkamah serta menunjukkan reaksi wajah sugul dan melambai ke arah penyokongnya di luar bangunan mahkamah.
Dari dalam konvoi polis, akaun media sosial berkongsi hantaran: “Wow, mereka akan menahan saya. Tidak percaya hal ini berlaku di Amerika.”
Trump menerajui AS sebagai Presiden pada 2017 hingga 2021 sebelum pada November lalu mengumumkan untuk kembali bertanding pada pemillihan Presiden pada 2024 selepas percubaan untuk kekal penggal kedua di White House digagalkan oleh calon Demokrat Joe Biden pada 2020.
Trump mendakwa, beliau kalah kepada Biden kerana penipuan undi secara besar-besaran dan menggelar siasatan yang membawa kepada dakwaannya sebagai 'buruan sihir politik'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!