Budak maut jatuh bangunan balik kelas mengaji
KUALA LUMPUR - Dentuman kuat membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, di sini, Selasa malam.
Insiden terbabit disedari penduduk setempat kira kira jam 7 malam.
Difahamkan, kanak-kanak warga Somalia itu baru selesai menghadiri kelas mengaji di Blok A kondominium berkenaan.
Namun, ibu mangsa berasa cemas apabila gagal menemui anaknya ketika hendak menjemputnya pulang ke rumah.
Hasil pencarian, ibu mangsa menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan raya dekat Blok B.
Kedua-dua anak beranak itu dipercayai merupakan warga Somalia dan pemegang Kad UNHCR (Agensi Pelarian PBB) sejak 2017.
Difahamkan polis turut menemui beg sandang mengandungi al-Quran di tingkat 4 berhampiran tangga dekat Blok B.
Kenyataan media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur akan dikeluarkan dalam waktu terdekat. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!