Mangsa di Kelantan rugi RM3.9 juta diperdaya scammer
KOTA BHARU - Sebanyak 70 kes penipuan menerusi panggilan telefon dengan kerugian berjumlah RM3.9 juta direkodkan di negeri ini bermula 1 Januari lalu sehingga Rabu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah itu meningkat berbanding 59 kes dengan kerugian RM1.5 juta dalam tempoh sama pada tahun 2022.
Menurut beliau, kes penipuan membabitkan modus operandi licik pihak sindiket yang menjerat mangsa dengan menyamar sebagai ejen insurans, anggota polis dan peguam.
“Terbaharu, seorang duda yang juga pesara swasta berusia 60-an kerugian RM109,750 selepas menerima panggilan pada Disember tahun lalu. (Suspek) kononnya dari Balai Polis Ampang, Selangor mendakwa mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
“Mangsa mendedahkan butiran akaun bank untuk siasatan dan diarah memasukkan wang ke dalam akaun sendiri sebagai ikat jamin. Mangsa tidak dibenarkan membuat semakan sepanjang tempoh siasatan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memeriksa akaun bank yang berbaki RM100. Semakan terhadap nombor telefon suspek mendapati 10 rekod penipuan sudah dilakukan.
Muhamad Zaki memberitahu, satu lagi kes melibatkan balu yang merupakan seorang suri rumah berusia lewat 50-an mengalami kerugian sebanyak RM120,400 dalam tempoh 22 Februari sehingga 31 Mac lalu.
“Mangsa menerima panggilan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Puan Clara Emelda daripada syarikat insurans. Suspek menyatakan mangsa membuat tuntutan palsu di Hospital Ampang Puteri sebanyak RM68,800.
“Mangsa menafikan dan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Ampang dan bercakap dengan Sarjan Zuraidi Abdul Sanad serta Inspektor Fadli Azman.
“Mangsa disambungkan pula kepada peguam bernama Samsiah yang menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan nombor talian suspek untuk akaun tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa memindahkan wang simpanan RM70,000 dalam Tabung Haji dan RM60,000 pinjaman bank yang baru dibuat.
“Pada 31 Mac lalu, mangsa menceritakan ‘siasatan’ tersebut kepada anaknya dan semakan di ATM (mesin transaksi automatik) mendapati baki wang wanita itu hanya tinggal RM490,” katanya.
Tambah beliau, semakan nombor telefon yang digunakan suspek mendapati 19 rekod penipuan pernah dilakukan sebelum ini.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!