TFC ledak gol, belasah Kelantan FC 5-0
KUALA NERUS - Perlawanan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam Selasa menyaksikan pasukan Terengganu FC (TFC) meledak gol menewaskan Kelantan FC 5-0.
Lebih mengujakan, jaringan bagi Sang Penyu itu turut disumbangkan oleh penyerangnya, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut yang sebelum ini berdepan kritikan hebat penyokong pasukan berkenaan gara-gara gagal mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan sebelum ini.
Sepak mula menunjukkan pasukan pelawat lebih agresif mencari peluang awal namun dihalang oleh penjaga gol, Suhaimi Husin.
Gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-16 selepas Mintah melakukan sepakan dari luar kotak penalti sekali gus membolehkan TFC mendominasi perlawanan.
TFC seterusnya mendapat kedudukan selesa apabila berhasil membuat jaringan oleh Adisak Kraison pada minit ke 20.
Kedudukan TFC terus selesa dengan jaringan ketiga apabila penyerang, Ivan Mamut dikasari didalam kotak penalti sekaligus membuka peluang pemain dari Croatia itu menjaringan gol yang pertama buat pasukan berkenaan.
TFC terus mara menambah jaringan apabila Ivan Mamut dengan mudah menjaringkan gol keempat pasukan tuan rumah.
Pasukan itu merangkul kemenangan bergaya dihadapan 5,000 penyokong apabila Hakim Abdullah menambah jaringan kelima yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Sang Penyu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!