Polis siap siaga elak serangan berdarah
KUALA LUMPUR - Polis di peringkat kontinjen dan daerah diingatkan untuk lebih sensitif terhadap keadaan sekeliling bagi memastikan insiden serangan berdarah yang meragut banyak nyawa di Sri Lanka dan Christchurch, New Zealand tidak berlaku di dalam negara.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, arahan sudah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan langkah siap-siaga telah dilaksanakan.
"Peringatan telah diberi di setiap kontinjen untuk sentiasa memerhatikan perkara yang mungkin luar biasa bagi tindakan segera.
"Kita berdoa agar musibah ini tidak berlaku dalam negara. Tindakan proaktif dan kerjasama orang ramai membantu salurkan maklumat berhubung sebarang bentuk ancaman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak Serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah, di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini.
"Polis sentiasa siap sedia termasuk mempertingkat rondaan di kawasan premis serta rumah-rumah ibadat," ujarnya.
Ahad lalu, insiden serangan gereja dan beberapa hotel di Sri Lanka telah meragut lebih 200 nyawa, manakala, pada 15 Mac, berlaku kejadian tembakan di Masjid Al Noor di tengah Christchurch, berhadapan Hagley Park dan Masjid Linwood di Linwood Avenue, New Zealand hingga meragut beberapa nyawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!