Bonus Aidilfitri RM700 buat penjawat awam Terengganu - MB
KUALA TERENGGANU - Lebih 12,000 penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima durian runtuh RM700 sebelum perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian Bantuan Khas Aidilfitri itu membabitkan peruntukan hampir RM9 juta.
Menurut beliau, pemberian bonus itu bagi sebagai menghargai sumbangan serta khidmat bakti penjawat awam yang komited dalam melaksanakan tugas mereka.
“Kita menyedari semua kakitangan kerajaan telah berusaha bekerja dengan begitu keras sekali untuk mengembalikan ekonomi negeri dalam keadaan yang lebih baik dan Alhamdulillah kita merasa sangat gembira dengan pencapaian kita dan itu (bonus) sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada mereka semua,” kata beliau.
Jelas Ahmad Samsuri lagi, bayaran bonus itu akan melibatkan semua kakitangan sama ada kontrak dan tetap.
Dalam masa sama, beliau berharap bantuan kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam di negeri itu dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada tahun lepas kerajaan negeri memberikan bonus RM500 kepada penjawat awam di negeri itu. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!