CAP gesa semua ahli Parlimen sokong Lembaga Racun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua ahli Parlimen supaya menyokong Lembaga Racun dalam mengekalkan nikotin sebagai bahan terkawal dalam Akta Racun.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan juga digesa agar meluluskan rang undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang bertujuan untuk melarang tembakau dan vape bagi sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 tanpa sebarang perubahan pada kandungan asal.

Menurutnya, gesaan untuk meluluskan GEG adalah berdasarkan peristiwa semasa dan bukti saintifik.

"Membenarkan Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDs) dan Produk Tembakau yang Dipanaskan (HTPs) akan menjejaskan objektif Rangka Kerja Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyahnormalkan merokok dan penggunaan tembakau.

"Pada masa ini nikotin dikategorikan sebagai racun Kumpulan C yang memerlukan ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan, pergigian atau veterinar berdaftar untuk menjual sebarang bentuk penyediaan yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun (PA) 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil contoh Australia dalam usaha membendung ketagihan nikotin pada masa depan dalam kalangan generasi akan datang.

"Di Australia, bermula 1 Oktober 2021, semua produk vape nikotin seperti e-rokok nikotin, pod nikotin dan cecair nikotin dikelaskan di bawah ubatan Jadual 4 (preskripsi sahaja).

"Oleh itu, seseorang itu tidak boleh membeli mana-mana produk tanpa preskripsi doktor," jelasnya.

Mohideen menambah, keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia.

"Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia melaporkan, sebanyak 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan satu hingga empat tahun iaitu yang paling muda adalah empat bulan.

"Dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama," katanya.

Beliau berkata, menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia, terdapat lebih daripada 97 peratus e-cecair dengan nikotin di dalam pasaran tempatan.

"Kajian di Eropah menunjukkan banyak sampel yang diperolehi di pasaran menunjukkan kebanyakannya melebihi 10 peratus daripada jumlah nikotin yang ditetapkan.

"Persoalannya, adakah Kementerian Kesihatan mengikut rentak teknik jualan pengedar bahan beracun yang boleh menyebabkan ketagihan?" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!