Enam notis dikeluarkan JKKP Perak

Pasukan penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Seri Iskandar
Pasukan penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Seri Iskandar
A
A
A

PARIT - Sebanyak lima notis larangan dan satu notis pembaikan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak kepada kontraktor utama dan pemilik kren bergerak ekoran insiden seorang operator maut dihempap kren di Seri Iskandar di sini, semalam.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, notis yang dikeluarkan itu melibatkan kegagalan kontraktor utama untuk menyediakan pelan tindakan kerja mengangkat menggunakan kren bergerak.

"Selain itu, notis ini juga berkait dengan kegagalan pihak kontraktor utama menyediakan sistem kerja selamat bagi semua kerja pembinaan yang mendatangkan bahaya.

"Notis juga turut diberi ekoran kegagalan mengemukakan bukti lantikan pegawai keselamatan dan kesihatan serta penyelia keselamatan dan kesihatan di tapak projek," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan diambil jika didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) dan Akta Kilang dan Jentera (1967) ke atas pihak yang bertanggungjawab.

"Saya memberi peringatan kepada semua kontraktor pembinaan supaya mengambil tindakan segera menambah baik aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak projek bagi mengela berlakunya kemalangan.

"JKKP memandang serius insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam," katanya.

Semalam, seorang operator kren bergerak berusia 47 tahun maut selepas dihempap kren bergerak seberat 20 tan pada jam 12.30 tengah hari di tapak projek pembinaan perumahan dan rumah kedai Bandar Seri Iskandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut dihempap kren pengangkut barang 20 tan

Artikel Berkaitan:

JKKP Perak kemudian mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut dan mengarahkan kerja di tapak pembinaan dihentikan serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!