Nahas pesawat Double Six: Laporan siasatan akhir dinyahklasifikasi
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Laporan siasatan akhir berhubung insiden pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain, pada 47 tahun lalu diturun taraf dan dinyahklasifikasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri selepas mengambil kira pandangan yang dikemukakan rakyat Sabah dan tuntutan dibuat waris insiden pesawat tersebut yang juga digelar sebagai Double Six.
"Laporan ini akan didedahkan kepada umum pada minggu hadapan oleh Kementerian Pengangkutan," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pendedahan laporan itu yang mengikut Seksyen 2C Akta Rasmi 1972 (Akta 1988) adalah selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.
"Isu itu telah menimbulkan banyak persoalan dan keresahan kerana selepas 47 tahun ada tuntutan daripada rakyat Sabah untuk mengetahui apa hasil daripada pasukan penyiasat berhubung kemalangan tersebut," katanya.
Insiden Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu.
Kapal terbang yang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Selain Tun Fuad, turut terkorban anak sulungnya, Johari Stephens,9, pengawal peribadi, Koperal Said Mohammad, Menteri Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin, Chong Thien Vun, dan penolong menteri Darius Binion.
Selain itu Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Dr Syed Hussein Wafa, Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Isak Atan dan juruterbang, Kapten Gandhi Nathan.
Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk nyah klasifikasi berhubung insiden tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!