Ribuan pelabur tertipu, kerugian cecah RM1 bilion

Hishamuddin (lima dari kanan) bersama mangsa pelaburan scammer menunjukkan laporan polis yang dibuat di seluruh negara.
Hishamuddin (lima dari kanan) bersama mangsa pelaburan scammer menunjukkan laporan polis yang dibuat di seluruh negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) diminta menyiasat lima buah syarikat yang dipercayai menipu sejumlah besar pelabur yang kebanyakannya warga emas dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kumpulan scammer jenayah pelaburan tersebut dipercayai menggunakan 'modal' meyakinkan iaitu dokumen information memorandum yang diperoleh daripada SC.

Selain itu kata beliau, kumpulan terbabit turut mempergunakan nama orang kenamaan atau VIP sebagai pelaris untuk menarik keyakinan pelabur terhadap operasi syarikat terbabit dengan menggambarkan individu berpengaruh tersebut sebagai pengarah syarikat.

"Dengan dua modus operandi ini, kumpulan scammer ini berjaya memperdaya ribuan pelabur di seluruh negara dan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

"Lima buah syarikat ini dipercayai telah memulakan operasi sejak 2016, namun ada antara syarikat tersebut telah tutup ketika pandemik Covid-19 dan 2021.

"Apabila mangsa atau pelabur tidak lagi dapat menghubungi pihak syarikat, laporan polis telah dibuat di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sebahagian mangsa penipuan pelaburan hadir ke SC bersama petugas MHO bagi menyerahkan aduan kepada suruhanjaya tersebut di Bukit Kiara, dekat sini pada Rabu.
Sebahagian mangsa penipuan pelaburan hadir ke SC bersama petugas MHO bagi menyerahkan aduan kepada suruhanjaya tersebut di Bukit Kiara, dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan dan aduan mangsa kepada pihak SC di Bukit Kiara, dekat sini.

Hadir sama Presiden Malaysian Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

MHO mengadakan kerjasama dengan MCCC bagi membantu mangsa-mangsa pelaburan membawa isu tersebut ke peringkat siasatan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, serahan aduan dan pertemuan dengan pihak SC digunakan sebaiknya untuk meminta suruhanjaya itu melakukan siasatan terperinci ke atas syarikat-syarikat pelaburan yang dipercayai menipu orang ramai.

Selain itu kata beliau, MHO turut menyeru SC agar meneliti penggunaan dokumen information memorandum yang telah dihantar serah kepada suruhanjaya itu bagi diguna pakai oleh syarikat-syarikat pelaburan beroperasi di negara ini.

Ini kerana katanya, syarikat-syarikat terlibat berjaya menunjukkan dokumen information memorandum kepada kumpulan pelabur atau mangsa.

"Kita MHO tidak menyalahkan SC berhubung dokumen information memorandum ini.

"Namun kita menyatakan kepada SC bahawa di lapangan, ada syarikat-syarikat yang menyalah guna perkataan information memorandum, seakan-akan syarikat terbabit telah disemak oleh suruhanjaya tersebut.

"Tetapi yang sebenarnya information memorandum itu tidak disemak, sebaliknya hanyalah satu dokumen hantar serah atau notis," katanya.

Jelas beliau, tanpa sebarang kajian lanjut dilakukan oleh pelabur berhubung perkara tersebut, kebanyakannya mempercayai ia telah diluluskan oleh SC.

Oleh yang demikian menurut beliau, MHO telah memaklumkan perkara tersebut kepada SC untuk meneliti balik perkara melibatkan dokumen information memorandum.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, penggunaan nama VIP yang mempunyai reputasi tinggi dilihat telah berjaya memperdayakan kebanyakan mangsa.

Hishamuddin (depan, tiga dari kiri) dan Musa (empat dari kiri) bersama sebahagian mangsa penipuan pelaburan bertindak menyerahkan aduan kepada SC di Bukit Kiara, dekat sini pada Rabu.
Hishamuddin (depan, tiga dari kiri) dan Musa (empat dari kiri) bersama sebahagian mangsa penipuan pelaburan bertindak menyerahkan aduan kepada SC di Bukit Kiara, dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, bukan sahaja peguam, malah individu bergelar Tan Sri turut diperdaya 'hidup-hidup'.

Tegas beliau, ia bukan satu jenayah scam biasa tetapi corporate scam kerana terdapat sejumlah pelaburan tertinggi yang dibuat adalah sehingga RM3 juta.

"Oleh sebab itu, MHO meminta SC melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini, setelah memanjangkan aduan atau laporan yang telah dibuat kepada pihak polis sebelum ini.

"Kita juga akan meneruskan dengan siri aduan kepada agensi terlibat yang lain seperti Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

"Sekiranya tidak ada tindakan sewajarnya, MHO tidak teragak-agak untuk membawa kes ini kepada badan lebih tinggi seperti ke Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!