Wanita maut disyaki dibunuh suami dengan tukul besi
DUNGUN - Seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.
Menurutnya, pasangan tersebut baru mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.
“Difahamkan, suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.
"Susulan itu, kita telah menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan itu," katanya.
Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!