Kerap kali kalah punca Moon-sik direhatkan

Norizam (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian)
Norizam (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KEKALAHAN berterusan yang direkod oleh Kelantan FC menjadi punca kepada pengendali pasukan Choi Moon-sik direhatkan oleh pihak pengurusan.

Mendedahkan perkara itu kepada umum pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, kesukaran berkomunikasi antara pemain dan jurulatih turut mempengaruhi keputusan tersebut selain tiada laporan prestasi.

"Saya kena buat keputusan ini sebagaimana menjadikan Rezal Zambery Yahya sebagai pemangku jurulatih ketika ketiadaan Marco Rajini dahulu," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Respon itu dibuat Norizam atau Zamburger susulan pendedahan yang dibuat oleh ejen bola sepak Asia Myeongho Jeong menempelak tindakan Kelantan FC merehatkan pengendali pasukan itu Choi Moon-sik tanpa sebarang budi bicara.

Jeong dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya leo_jeong10 mendakwa tindakan itu seperti sudah dirancang dan pemilihan pemain untuk perlawanan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Moon-sik.

Zamburger turut menafikan beliau suka campur tangan dalam menentukan barisan pemain semasa perlawanan.

Ujarnya, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih untuk membuat keputusan.

"Tetapi...ada masa saya akan minta untuk masukkan atau keluarkan pemain-pemain yang dirasakan perlu atas nasihat barisan jurulatih. Kalau selaku pemilik, cadangan saya yang satu peratus tak boleh diterima, baik saya jangan jadi pemilik.

"Saya juga tak mahu ketua jurulatih besar kepala sehingga langsung tidak mahu dengar pandangan dari teknikal, 'Sporting Director' dan pasukan jurulatih yang lain," katanya.

"Di Kelantan kita semua kena terbuka pada idea, yang baik kita ambil, takda salah pun. Matlamat saya hanya mahu menang, itu sahaja," katanya.

Zamburger memberitahu, jika kemenangan diberikan beliau tidak akan mengacau pasukan kerana mempunyai tanggungjawab lain.

"Tapi kalau dah kalah teruk takkan saya nak biarkan habis sehingga teruk. Saya kena campur tangan sebab tiada pemilik hendak kelabnya kalah dan terus jadi 'lauk'. Semua ada tertulis dalam kontrak sebelum pegang jawatan ketua jurulatih.

"Jurulatih datang dan pergi. Bila menang dia 'tuntut' semua kejayaan. Bila masalah...senang angkat kaki. Macam biasa, saya juga yang hadap bila ada masalah dan isu besar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai masalah gaji, Zamburger berkata, kelewatan dalam pembayaran gaji memang berlaku.

"Bagaimanapun, ia hanya melibatkan tempoh singkat antara seminggu hingga dua minggu sahaja. Tapi kalau ada kata berbulan-bulan tak dapat gaji itu adalah fitnah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!