Rambang mata pilih baju raya
JEMPOL- [DIKEMAS KINI] Perasaan girang jelas kelihatan pada wajah 35 kanak-kanak di sini apabila mereka diberi peluang memilih dan mencuba baju raya idaman masing-masing pada Selasa.
Begitulah antara gelagat yang dapat dilihat di sekitar Program Beli Baju Raya Parlimen Jempol sumbangan ahli perniagaan, R Sri Sanjeevan melibatkan keluarga asnaf di sebuah pasar raya di Bahau bagi persiapan sambutan Aidilfitri nanti.
Nurul Humaira Norasim, 8 tahun, dari Rompin berkata, dia sangat gembira kerana dapat baju raya malah rambang mata sebaik melihat pelbagai fesyen yang ada.
"Tak sangkalah dapat baju raya dalam program macam ini sebab ibu sebelum ini sudah menjahit sendiri baju kurung raya saya.
"Baju raya saya yang ada ini tidaklah banyak, dalam dua pasang sahaja tetapi itu pun sudah menggembirakan saya," katanya.
Bagi Muhammad Fakhrul Naim Khairul Azhar, 9 tahun, dia senada dengan Nurul Humaira keranan dapat berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan sebayanya dalam program tersebut.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana membantu penerima yang kebanyakan daripada keluarga kurang berkemampuan.
Sementara itu, Sanjeevan berkata, bantuan tidak seberapa itu diharap dapat menggembirakan kanak-kanak terbabit selain meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan hari raya.
"Seperti kanak-kanak yang lain, mereka juga berhak meraikan hari raya ini dalam suasana yang ceria bersama keluarga.
"Jika ada rezeki yang lebih, atau ada sahabat lain yang turut ingin membantu, kita akan luaskan Program Beli Baju Raya ini kepada lebih ramai lagi kanak-kanak di sekitar Jempol.
" Pada sebelah malamnya nanti kita akan menjamu kanak-kanak ini berbuka puasa di sebuah restoran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!