Kereta peniaga hilang ditemui bertukar warna
KOTA BHARU - Seorang peniaga menunaikan janji dengan menghadiahkan RM12,000 kepada individu yang menjumpai semula kereta hilang dari sebuah apartmen di Sri Cemerlang, Kota Bharu, dua minggu lalu.
Pemilik kereta itu, Mohd Faizal Mat Saman, 29, berkata, kereta jenis Honda Civic EK9 tersebut ditemui dalam keadaan sudah bertukar warna cat.
Katanya, keretanya yang diletakkan di parkir apartmen itu dilarikan antara 3 hingga jam 4 pagi pada 13 April lalu dan kehilangan itu disedari pada jam 1.30 pagi.
“Selepas 11 hari hilang, kereta ditemui sudah bertukar warna cat daripada putih kepada hitam.
“Ketika kereta hilang, saya tidur di rumah mentua di Tumpat dan terkejut selepas mendapati kereta kesayangan dibawa lari walaupun saya sudah mengunci dengan baik.
“Saya melihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati pencuri menarik kenderaan saya dengan kereta Proton Wira dimiliki penduduk apartmen itu,” katanya hari ini.
Mohd Faizal berkata, selepas membuat laporan polis, dia memuat naik status di laman sosial Facebook bagi meminta bantuan dan menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 sebelum menaikkan kepada RM12,000 bagi orang yang menemuinya,” katanya.
“Status dimuat naik itu menjadi tular sebelum kereta saya ditemui penduduk kampung di kawasan semak di Nilam Puri, Kota Bharu, 8.30 malam tadi.
“Beberapa bahagian dalam kereta itu sudah tiada termasuk stereng, spoiler dan sistem pemain radio atau audio menyebabkan kerugian RM8,000,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur menemui semula keretanya itu walaupun sudah bertukar warna. Seorang lelaki menghubunginya memaklumkan penemuan kereta itu dan dia memberi ganjaran RM12,000 kepada lelaki itu kerana sudah berjanji
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes itu masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!