Dua lelaki ditahan bersama senapang, ganja dan bahan letupan
BALING - Dua lelaki ditahan bersama selaras senapang patah dan ketulan mampat disyaki ganja serta satu kotak besi mengandungi pelbagai jenis bahan letupan dalam serbuan di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua lelaki berusia antara 34 dan 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua buah rumah berasingan kira-kira 6.30 pagi hasil maklumat awam.
Menurutnya, pemeriksaan dalam rumah terbabit telah menjumpai selaras senapang patah berhulu kayu dan tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 2.49 kilogram.
"Pemeriksaan lanjut dalam rumah seterusnya, menjumpai kotak besi di dalamnya mengandungi pelbagai jenis bahan letupan antaranya satu Roket Hand Fired Signal, empat unit Thunder Flash dan tiga unit Coloured Smoke.
"Kita juga menemui satu Clicker Detonator, satu kotak mengandungi Firing Device Demolition, dua kotak mengandungi kotak Safety Fusees dan lapan batang Flare," katanya.
Wan Hassan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan hukuman sebat untuk kesalahan dadah, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan memiliki senapang dan penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebat untuk kesalahan memiliki bahan letupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!