Selangor perlu buat lebih banyak lagi kerja rumah
SELANGOR FC masih belum berada dalam prestasi terbaik walaupun mempamerkan persembahan memberangsangkan dalam tujuh perlawanan awal Liga Super musim ini.
Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, masih banyak kerja yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi Gergasi Merah kepada tahap yang lebih baik.
“Kami tidak boleh dengan prestasi terumbang-ambing kerana setiap perlawanan cukup penting dan setiap mata yang dikutip penting untuk kami berada dalam kedudukan terbaik.
“Kami nak juga pemain bekerja keras setiap hari kerana kami masih lagi belum mencapai tahap terbaik, banyak yang kami perlu tingkatkan lagi termasuk dari segi persefahaman dan taktikal.
“Paling utama kita bergerak dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana setiap perlawanan penting untuk kita dapatkan keputusan positif bagi mengelak jurang yang lebih jauh,” katanya.
Terdahulu anak buah Chen Hoe bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Selasa.
Herold Goulon meletakkan skuad Hoben Jang Hoben di hadapan sebelum tamat babak pertama, namun Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-56.
Tiga mata menjadi milik tuan rumah selepas Sharul Nazeem menyumbang gol kemenangan pada masa kecederaan.
Kemenangan ke atas Negeri Sembilan menyaksikan Selangor kini mengumpul 16 mata, lima mata di belakang pendahulu, JDT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!