'Rapatkan jurang demi kepentingan rakyat' - Ahmad Zahid
JITRA - Usaha perlu dilakukan demi mendekatkan sebarang jurang antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keserasian hubungan itu perlu diwujudkan antara dua pihak tersebut.
"Jika terdapat jurang sekalipun, mesti ada usaha untuk mendekatkan jurang dalam usaha memenuhi kepentingan rakyat.
"Jalinan ini perlu tercermin daripada aspek kerjasama dan bukan hanya sekadar retorik melalui ucapan politik semata-mata," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media bersempena Majlis Santuni Kasih Ramadan Kedah di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ahmad Zahid menambah, beliau berharap perkara itu bukanlah hanya sekadar ucapan politik tetapi dalam bentuk kerjasama.
"Itu yang saya laksanakan dan tentunya menjadi dasar kerajaan Pusat begitu juga, asalkan kerajaan negeri arrangement dengan kerajaan Pusat dan kita amat menghormati. Maknanya ini melangkaui pendirian politiklah, kita ketepikan perbezaan warna (politik)," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyatakan beliau amat menghargai kehadiran Muhammad Sanusi ke majlis berkenaan.
"Yang penting jalinan kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri harus terjalin di mana-mana juga kementerian Ini adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga akan memberi perhatian kepada pembangunan di Kedah.
"Jadi dasar kerajaan Pusat untuk menyantuni kekurangan permasalahan dan juga pembangunan yang diperlukan mengikut peruntukan yang telah ditentukan dan mengikut keberhasilan KKDW sebagai salah sebuah kementerian yang mempunyai agensi utamanya di Kedah iaitu KEDA.
"Saya mengambil pendekatan melakukan pemantauan terhadap prestasi bukan hanya terhadap berapa peratusan perbelanjaan yang telah dikeluarkan, saya (juga) mengkaji dari segi keberkesanan kepada kos sesuatu projek itu, rakyat mesti merasai," katanya.
Beliau menambah, semua keberhasilan terbabit perlu menjadi satu penanda aras bagi memastikan kepuasan sesuatu projek di peringkat akar umbi dapat dirasai rakyat.
"Kita (akan) memberikan keutamaan bukan saja kepada usaha-usaha tradisional seperti bekalan elektrik, air di kawasan-kawasan pedalaman dan infrastruktur luar bandar.
"Tetapi kita memberikan tumpuan juga kepada pembangunan insan seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kita melakukan upskilling dan reskilling untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak kumpulan sasaran," katanya.
Beliau menambah, kementeriannya bersama-sama dengan kerajaan negeri turut mendirikan rumah di tanah sama ada atas kerjasama kerajaan ataupun tanah dibeli oleh Felda sendiri demi memberi kemudahan perumahan kepada rakyat Kedah.
Sebelum itu, hampir 1,500 orang yang terdiri daripada anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat diraikan dalam majlis itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!