LDP, PHRS kini parti komponen GRS
KOTA KINABALU - Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menjadi parti terbaru diterima sebagai parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi GRS yang bermesyuarat petang tadi telah sebulat suara meluluskan permohonan kedua-dua parti tempatan itu menyertai gabungan itu.
"GRS kini mempunyai tujuh ahli (parti), " katanya dalam kenyataan ringkas di sini, malam ini.
Selain LDP dan PHRS, parti komponen GRS lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
LDP ditubuhkan pada 1989 dan kini diketuai oleh Presiden Datuk Chin Su Phin, bekas Senator Dewan Negara (2011-2014) dan bekas Presiden Tan Sri Chong Kah Kiat ialah Ketua Menteri Sabah ke-13.
PHRS, sebaliknya ditubuhkan pada 2016 dan kini diketuai oleh Presiden Tan Sri Liew Yun Fah, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah (2014).
GRS dipimpin Ketua Menteri Sabah, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, sejak pembentukan gabungan berkenaan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!