Lantikan tetap sasar pegawai perubatan tamat latihan siswazah
SHAH ALAM - Sasaran pelantikan pegawai perubatan kontrak secara tetap adalah meliputi mereka yang telah menamatkan latihan siswazah dan berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) serta memenuhi syarat pelantikan secara tetap.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia susulan langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mewujudkan hampir 12,800 perjawatan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun hingga menjelang tahun 2025.
“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan (KKM) komited dan akan menyusul perkara ini agar urusan perjawatan dan pelantikan dapat diuruskan secara teratur dan berkesan dalam tempoh tersebut.
“Keseluruhan kos tambahan bagi urusan ini adalah sekitar RM1.7 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan memberi jaminan isu lantikan tetap doktor kontrak akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
Ulasnya, penyerapan itu perlu dilaksana secara berperingkat selepas mengambil kira implikasi kewangan ditanggung kerajaan jika ia diselesaikan secara sekali gus.
Dalam pada itu menurut Dr Zaliha, KKM juga sedang memperhalusi isu-isu lain berkaitan pegawai perubatan kontrak termasuk maklum balas yang dikumpul semasa sesi Townhall pada 22 Februari 2023 yang lalu.
Ujarnya, perkara itu akan dibentangkan ke hadapan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang telah ditubuhkan berdasarkan keputusan Kerajaan pada 31 Mac 2023.
“Sepertimana yang diumumkan, kerajaan juga sedang mengkaji pemanjangan elaun locum kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di KKM selain Pegawai Perubatan.
“Di samping itu, KKM masih meneruskan pelantikan kontrak bagi tujuan latihan siswazah (housemanship) yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen KKM pada setiap tahun.
“KKM berharap langkah penambahbaikan ini terus menjadi pemangkin bagi meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Malaysia Madani ke arah mewujudkan masyarakat yang sihat sejahtera,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!