Derbi utara milik KDA, tebus kekecewaan ke atas Penang
KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya menebus kekecewaan ke atas Penang FC apabila menang tipis 1-0 pada aksi derbi utara Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dilayangkan kad merah pada minit ke-53, namun tidak menghalang Sang Kenari untuk beraksi cemerlang dalam memburu tiga mata.
Willian Lira menjaringkan gol kemenangan KDA FC pada minit ke-64 sekali gus menebus kekecewaan selepas mereka disingkirkan lawan pada pusingan pertama Piala FA 2023 Mac lalu.
Pada perlawanan ketujuh saingan Liga Super itu, Lira berpeluang untuk menjaringkan gol lebih awal namun percubaannya semasa berada di dalam kotak penalti tersasar ke sebelah kanan gawang lawan pada minit ke-11.
Seminit kemudian, pemain sayap lawan, Adib Raop melakukan percubaan terus ke pintu gol tuan rumah namun ditepis keluar oleh penjaga gol Sang Kenari, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi
Pada minit ke-14, pemain sayap KDA FC, Al Hafiz Harun berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan oleh pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir kerana dikesan offsaid oleh penjaga garisan
Harimau Kumbang kembali mengatur corak permainannya dan menyusun serangan ke kubu tuan rumah untuk memburu gol penyamaan.
Pada minit ke-91, Harimau Kumbang berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan penyerangnya, Adriano ditepis keluar Kalamullah dan keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!