Al-Quran braille ‘peneman’ 32 OKU
SHAH ALAM - Dengan bantuan al-Quran braille, seramai 32 orang kurang upaya (OKU) penglihatan akan terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran 2.0 pada Jumaat ini.
Program anjuran sisipan Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus (SI) bakal berlangsung bermula jam 5 petang di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini bertemakan ‘Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum’.
Menurut Editor SI, Muhd Azman Mohd Nawi, pemilihan peserta adalah dalam kalangan mereka yang sudah tamat membaca 30 juzuk al-Quran, terdiri daripada ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dan Yayasan Maghfirah itu.
“Keunikan dan kepelbagaian kaedah membaca al-Quran ini dilihat di mana OKU penglihatan membaca al-Quran dibantu oleh Mashaf al-Quran Braille.
“Ia berbeza dengan penganjurannya pada tahun lalu yang meraikan 15 peserta kanak-kanak,” katanya.
Program yang turut mendapat sokongan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) selaku rakan strategik itu, dua orang mualim yang bertauliah akan membimbing peserta ketika acara berlangsung.
Meskipun kurang dari segi penglihatan, namun katanya, hati mereka celik dengan kalam ALLAH itu dan berupaya membaca dan menghafaznya dengan sempurna.
“Sepertimana majlis-majlis khatam al-Quran lain, SI berhasrat menyempurnakan majlis itu dengan menjunjung syariat Islam tanpa meminggirkan nilai budaya Melayu.
“Ia adalah bentuk teladan terbaik bagi Muslim yang normal untuk sama-sama menjadikan al-Quran sebagai pedoman kehidupan,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai tanda penghargaan, setiap peserta akan diberikan sijil berserta senaskhah al-Quran dan beberapa hadiah iringan lain.
“Kami berharap agar majlis ini memberi inspirasi kepada Muslimin seluruhnya untuk menjadikan al-Quran dan tafsir al-Quran sebagai bahan bacaan utama serta sumber rujukan mereka.
“Semoga program ini berupaya menggalakkan umat Islam daripada segenap generasi mencintai warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW, seterusnya dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan kepada kehidupan kita,” katanya.
Majlis tersebut akan dipancarkan secara langsung melalui semua platform media sosial Sinar Harian termasuk Facebook Sinar Islam Plus, SinarPlus dan Sinar Bestari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!