Bukan sekadar berbuka puasa
SHAH ALAM - Bukan sahaja dapat menikmati juadah berbuka puasa secara percuma, pengunjung program Iftar Ala Madinah@Karangkraf juga menerima sumbangan barangan keperluan seperti beras dan tepung daripada syarikat Bidara Rice Sdn Bhd.
Pengarah Urusannya, Azbir Abu Bakar berkata, sumbangan yang diberikan itu merupakan inisiatif bagi meringankan beban warga kota sempena bulan Ramadan selain memperkenalkan produk syarikat tersebut kepada orang ramai dengan lebih dekat.
“Agihan yang dibuat di Kompleks Kumpulan Karangkraf ini merupakan pertama kali diadakan setelah tujuh tahun penubuhan Bidara Rice.
“Pada kesempatan kali ini, pengunjung program Iftar ala Madinah dapat mengenali produk yang disumbangkan seperti Tepung Gandum Wardah dan Beras Bidara 500 gram yang keseluruhannya berjumlah 500 pek.
“Sebelum ini kita juga telah agihkan barangan berkenaan di beberapa tempat lain. Jadi, masuk sahaja ke Kumpulan Karangkraf ini, purata edarannya sudah berjumah dua ke tiga tan. Alhamdulillah,” kata beliau kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang pengunjung program iftar ala Madinah, Qairun Najiha Ahmad Fadzil, 27, menyifatkan sumbangan tepung gandum dan beras itu sangat bermakna.
Ujar kakitangan swasta itu, pemberian barangan tersebut secara tidak langsung dapat membantu menjimatkan daripada berbelanja lebih untuk membeli keperluan harian.
“Dengan sumbangan ini, dapatlah kami sedikit sebanyak mengenali lebih banyak produk baharu yang selalu terlibat dengan program-program amal,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Siti Noor Syakirah Ab Rahman, 33, berkata, agihan tersebut sedikit sebanyak menjimatkan kos perbelanjaan membeli barangan runcit bagi memenuhi kelangsungan hidup.
“Sekarang ini barang pun banyak yang harganya sudah naik, elok sangatlah kalau ada aktiviti begini, bukan setakat dapat makan minum sahaja, ada macam-macam pemberian keperluan pengunjung boleh dapat. Kenyang dapat, senang pun ya,” ujarnya yang baru pertama kali hadir ke program itu.
Khairul Hakimi Hamiduddin Abdul Hamid, 24, pula berpandangan sumbangan dua produk tersebut merupakan sesuatu yang amat berharga buat kebanyakan masyarakat.
“Jarang dapat secara percuma, jadi saya syukur sangat, kadang-kadang di rumah pun saya memasak juga,” kata mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!