Polis tak henti usaha jejak Jho Low
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan usaha menjejak ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Jho Low terakhir dikesan berada di Hong Kong dan Macau.
"Sejak dari itu, maklumat mendedahkan bahawa Jho Low masih berada di kawasan itu.
"Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk penuhi tuntutan seperti digariskan Polis Antarabangsa (Interpol).
"Kita harap pihak tersebut akur dengan perjanjian untuk sama-sama tangani dan saling membantu untuk kesan, tangkap dan usir penjenayah agar kembali ke negara asal," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
China tak tahu di mana Jho Low berada
Mahkamah benar notis panggil pihak ketiga tuntut harta bapa Jho Low
Pada Mac lalu, sebuah banglo tiga tingkat di Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang milik keluarga Jho Low disita Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman.
Sementara itu, pada 25 Januari lalu, PDRM dilaporkan sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung 1MDB.
Individu itu ialag tiga rakyat Malaysia, iaitu Hock Peng, 67, Goh Gaik Ewe, 67, dan Tan Kim Loong, 41, serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.
Untuk rekod, pada 27 Jun tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh (kini telah bersara), dilaporkan sebagai berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!