Masih belum jamin masa depan - Wakil doktor kontrak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk menyerap 12,800 doktor kontrak sebagai lantikan tetap masih belum menjamin masa depan mereka yang dianggarkan akan meningkat kepada 35,300 orang dalam tempoh tiga tahun.

Wakil Hartal Doktor Kontrak berkata, buat masa ini doktor kontrak di seluruh Malaysia berjumlah 20,300 dengan penambahan lebih daripada 5,000 doktor setiap tahun.

“Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun jumlah itu akan ada tambahan 15,000 orang, sekali gus jumlahnya akan meningkat kepada 35,300. Jika 12,800 slot, bermaksud hanya 36 peratus sahaja yang akan diserap atau nisbahnya 1 bagi setiap tiga doktor.

“Itu pastinya tidak akan memberikan jaminan keselamatan pekerjaan kepada doktor muda dan tidak mungkin ia akan menghalang doktor daripada meninggalkan perkhidmatan, seterusnya memburukkan lagi keadaan penjagaan kesihatan di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan di Dewan Rakyat pada Selasa, kerajaan komited untuk menyerap seramai 12,800 doktor kontrak yang tamat housemanship sebagai lantikan tetap dalam tempoh tiga tahun.

Langkah itu, katanya, dimulakan dengan menyerap hampir 4,300 pegawai kontrak sebagai lantikan tetap tahun ini.

Baki pegawai kontrak yang disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

Pada Isnin lalu, Sekretariat Hartal Doktor Kontrak menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk memasukkan Hartal Doktor Kontrak sebagai ahli dalam Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi mewakili para doktor kontrak di negara ini.

Jelas sekretariat itu, tanpa perwakilan daripada pihak yang betul, usaha jawatankuasa tersebut dalam menyelesaikan isu doktor kontrak itu tidak akan memberi sebarang impak, sebaliknya sama seperti yang dilakukan oleh jawatankuasa lain sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!