Kepala pemain Ajax cedera dibaling objek

Kepala Klaassen berdarah dibaling objek oleh penonton. - Foto EPA
Kepala Klaassen berdarah dibaling objek oleh penonton. - Foto EPA
A
A
A

AKSI separuh akhir Piala Belanda pada Khamis antara Feyenoord dan Ajax Amsterdam terpaksa dihentikan selama 30 minit selepas pemain Ajax, Davy Klaassen cedera di kepala terkena objek dibaling dari tempat duduk penonton.

Insiden itu berlaku ketika Klaassen berada di kawasan sepakan sudut pada awal separuh masa kedua apabila objek yang dipercayai pemetik api dibaling kepadanya.

Pemain antarabangsa Belanda itu mengalami pendarahan di kepala dan pengadil, Allard Lindhout membuat keputusan mengarahkan semua pemain keluar dari padang.

Perlawanan tertangguh selama setengah jam dan pembantu jurulatih Feyenoord, John de Wolf menggesa penyokong tuan rumah untuk bertenang sebelum perlawanan bersambung semula.

Klaassen cuba meneruskan perlawanan tersebut namun dilihat beberapa kali memegang kepalanya sebelum digantikan Brian Brobbey.

Bagaimanapun, insiden itu tidak memberikan kesan kepada Ajax apabila mara ke final Piala Belanda dengan kemenangan 2-1 ke atas Feyenoord dan akan bertemu PSV pada 30 April ini.

"Ia sentiasa perlawanan gila apabila anda bermain di sini. Tetapi kami tidak menjangkakan ini. Ia melampaui semua had.

"Saya merasakan sesuatu yang agak sukar. Pada mulanya saya berasa marah di dalam hati, dan saya bertambah marah apabila penjaga gol mereka (Timon Wellenreuther) berlari dan menjerit bahawa saya perlu bangun.

"Kemudian seorang lagi pemain melihat kepala saya dan ternyata kepala saya berdarah. Saya kemudiannya rasa sakit di kepala dan menghadapi masalah untuk fokus sehingga terpaksa dikeluarkan," kata Klaasen.

Polis berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang diadakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!