'Saya tak tergamak buang anak'

Siti Zahida terharu melihat surat beranak berstatus warganegara yang diperolehi anak-anaknya.
Siti Zahida terharu melihat surat beranak berstatus warganegara yang diperolehi anak-anaknya.
A
A
A

ALOR GAJAH - "Menitis air mata setiap kali disapa berita pembuangan bayi, tergamak mereka membuangnya sedangkan anak yang dilahirkan tidak berdosa dan saya memelihara anak-anak tidak sah taraf yang saya sendiri lahirkan," kata Siti Zahida, 34, (bukan nama sebenar).

Kisah tiga daripada lima anak Siti Zahida yang tidak bersekolah kerana tiada surat beranak gara-gara status anak itu sebagai anak tidak sah taraf pernah disiarkan, baru-baru ini.

Siti Zahida berkata, mengimbau zaman remaja dan kehidupan sosial menyebabkan dia terlanjur dan mengandung anak pertama semasa berusia 15 tahun dan ketika itu dia sekeluarga menetap di sebuah kampung di Negeri Sembilan.

Menurutnya, mengakui kejahilan dan kealpaan diri, dia akhirnya terpaksa memberitahu ibunya bahawa dia telah sarat hamil tanpa berkahwin.

Katanya, keadaan fizikal yang kecil juga menyebabkan tiada ahli keluarga yang tahu dirinya mengandung termasuk ibu bapa.

"Waktu nak bersalin baharu saya beritahu mak, dan mak yang menyambut anak saya termasuk memotong tali pusat ketika saya bersalin di rumah.

"Tidak sanggup saya untuk menambah dosa dengan membuang mereka, sedangkan sembilan bulan saya mengandungkan mereka dan ALLAH sentiasa permudahkan proses bersalin kelima-lima orang anak dan ia sangat mudah," katanya.

Ketika ditanya mengapa pendaftaran kelahiran mereka tidak dilakukan, Siti Zahida berkata ketika itu apa yang penting adalah untuk menutup malu maruah keluarga dan bukan dia seorang sahaja yang diuji dengan anak tidak sah taraf, malah kakak dan seorang lagi sepupu perempuan juga mengalami nasib sama.

Artikel Berkaitan:

Siti Zahida terharu melihat surat beranak berstatus warganegara yang diperolehi anak-anaknya.
Siti Zahida terharu melihat surat beranak berstatus warganegara yang diperolehi anak-anaknya.

Menurutnya, kerana kesilapan lalu juga, dia sering kali dicemuh orang kampung namun tamparan hebat itu tidak pernah melemahkan semangat hingga mahu menggugurkan kandungan ataupun membuang anak yang dilahirkan walaupun sedar akibat yang perlu ditanggung selama membesarkan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Adik-adik selalu tanya bila boleh ke sekolah?'

ARTIKEL BERKAITAN: Adly pandang serius tiga beradik tak bersekolah

Katanya, dalam tempoh itu, dia juga bersyukur ibunya sentiasa memberikan semangat untuk meneruskan kehidupan dan kasih sayang yang menjadi penguat untuk dia menyara kesemua orang anak tanpa insan bernama suami.

"Walaupun keadaan keluarga yang susah namun saya tempuhi kesukaran itu, dan kelima-lima orang anak yang sekarang berusia 9 hingga 18 tahun dilahirkan di rumah.

"Tidak pernah terfikir untuk membuang mereka atau menyerahkan anak kepada orang lain, namun sedih masih ada yang tergamak membuang darah daging sendiri hinggakan ada yang meninggal dunia," katanya

Tambah Siti Zahida, tindakan membuang bayi itu bukanlah penyelesaian terbaik bagi mereka yang mengandungkan anak tidak sah taraf namun berilah peluang untuk anak-anak golongan seperti ini bernyawa dan hidup seperti anak lain di dunia ini.

"Syukur anak-anak semakin membesar dan sihat, saya selalu menasihati mereka pedulikan kata-kata orang yang mengata keluarga, bersabar dan terus bersabar, asalkan kita bahagia walaupun miskin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Zahida yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut bersyukur penantian kelima-lima anaknya serta tujuh orang anak buah yang tidak memiliki surat beranak berakhir setelah menerima dokumen penting itu di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Masjid Tanah di sini, hari ini.

"Kesempitan hidup, saya pernah memohon bantuan bulanan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tiada status saya berkahwin dan ketika itu juga tiada, langsung dokumen anak-anak dan saya terpaksa melupakannya.

"Moga anak-anak saya tidak terus dihukum masyarakat, dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan lebih penting Ramadan kali ini ia adalah bulan yang menggembirakan kami sekeluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!