Penunggang motosikal maut langgar lori
SHAH ALAM - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah lori dalam kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak di Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 10.40 malam.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila lori dipandu seorang individu berumur 37 tahun dari arah Puncak Alam dipercayai hendak membelok ke kanan menuju ke stesen minyak tersebut.
"Mangsa yang menunggang motosikal dari arah Shah Alam bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tepi lori," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!