'Isu bekalan telur tak selesai, kerajaan lambat bertindak' - Gerakan

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengkritik kerajaan kerana masih tidak dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam dalam negara.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin berkali-kali menegaskan Malaysia tidak mengalami kekurangan bekalan namun hakikat sebaliknya.

Menurut Dominic, dalam sesi soal jawab di Parlimen lalu, MAFS mendakwa Malaysia tidak mengalami kekurangan bekalan telur, jadi peningkatan pengeluaran bekalan telur melalui Program Agropreneur Muda seperti didakwa adalah tidak wujud.

"Malah, media tempatan sebelum ini melaporkan, empat daerah di Pahang, Jerantut, Bandar Tun Razak, Jengka, Temerloh dan Maran mengalami isu kekurangan bekalan telur sejak awal Ramadan.

“Jika kerajaan tidak boleh menangani masalah ini dengan berkesan, bagaimanakah kerajaan mahu menyelesaikan masalah yang lebih serius?

"Tindakan daripada kerajaan sangat lambat, ia telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah kerajaan harus mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan pengeluaran dan bukanlah hanya menafikan perkara tersebut kerana import telur dari India hanya satu jalan penyelesaian jangka pendek.

"Sepatutnya kerajaan bekerjasama dengan penternak ladang ayam dan melabur lebih banyak dana untuk meningkatkan produktiviti pertanian serta tahap kemahiran penternak.

“Selain itu, kerajaan juga harus mengurangkan seliaan dan sekatan ke atas pertanian dan penternakan ayam, untuk merangsang inovasi dan daya saing petani dan penternakan ayam” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!