Pemilik Crackhouse Comedy Club fail representasi kedua

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Mohamad Rizal Van Geyzel untuk menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi media sosial yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis ditetapkan pada 31 Mei depan.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi itu, Hakim N Priscilla menetapkan perbicaraan kes berkenaan diteruskan pada 1 dan 2 Jun.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman berkata, surat representasi kedua itu diterima pada Khamis, maka pihak pendakwaan memohon tempoh sebulan untuk membawanya kepada pihak atasan.

Menurutnya, dokumen tambahan akan diserahkan kepada pasukan pembelaan pada tarikh lain kerana pegawai penyiasat tidak dapat hadir kerana isterinya mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, peguam M Pravin berkata, maklumat perkembangan baharu yang sangat penting telah dimasukkan ke representasi kedua berkenaan dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

"Oleh itu, kami memohon perbicaraan kes ditangguhkan sehingga Jun depan sementara menunggu keputusan representasi.

“Pihak kami juga akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara pasport anak guam bagi membolehkannya menunaikan umrah pada 15 hingga 30 Mei depan," katanya.

Mahkamah kemudiannya melapangkan perbicaraan yang ditetapkan pada 14 April dan 2, 3 serta 22 Mei ini.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan representasi pertama Rizal ditolak oleh AGC dan tertuduh akan memfailkan representasi kedua atas isu yang sama.

Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!