PTPTN umum dividen 3.05 peratus Simpan SSPN
Manfaat kepada 5.73 juta pendeposit libatkan peruntukan RM266.17 juta
PUTRAJAYA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2022 sebanyak 3.05 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 sebanyak satu peratus adalah sebagai hadiah istimewa kepada para pendeposit yang membuat penabungan dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau, kadar dividen Simpan SSPN akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM266.17 juta.
Jelasnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.33 billion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.
“Pemberian dividen 3.05 peratus ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak tiga peratus pada tahun 2021. Ini menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi pada Rabu.
Tambah Mohamed Khaled, kadar dividen itu kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di bank.
“Bagi tahun 2022, keuntungan atau kadar faedah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan adalah antara 2.05 peratus sehingga 2.75 peratus. Justeru, kadar dividen ini merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan akan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing setanding produk-produk lain di pasaran,” ujarnya.
Menurut beliau, pada tahun 2022, pencapaian Simpan SSPN adalah membanggakan kerana menerima deposit berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus berbanding sasaran sebanyak RM2.8 bilion.
Tambahnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 berbanding tahun 2021 sebanyak RM3.01 bilion sementara keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2022 pula adalah berjumlah RM321.65 juta.
“Bagi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian ini adalah 123 peratus berbanding sasaran tahun 2022.
“Prestasi memberangsangkan ini menterjemahkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan,” ujarnya.
Bagi Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime pula, Mohamed Khaled berkata, ia merupakan tahun kelima kempen tersebut dilaksanakan semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2019.
Menurut beliau, ganjaran itu akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi iaitu bermula 5 April 2023 hingga 31 Julai 2023.
“Kempen ini layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2019,” jelasnya.
Pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing secara dalam talian di portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN mulai 6 April 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!