15,000 banduan, bekas banduan disasar dapat kerja tahun ini

Sivakumar menyampaikan ucapan ketika Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara Perkeso dan Jabatan Penjara Malaysia di Wisma Perkeso pada Khamis. - Foto Bernama
Sivakumar menyampaikan ucapan ketika Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara Perkeso dan Jabatan Penjara Malaysia di Wisma Perkeso pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Penjara (JPM) menyasarkan seramai 15,000 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney akan mendapat pekerjaan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ketika ini terdapat seramai 77,000 banduan yang sedang dipenjarakan, mampu menjadi tenaga kerja produktif dan bersedia untuk ditempatkan dalam sektor pekerjaan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

"Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing. Adalah kerugian jika kita tidak memanfaatkan tenaga kerja negara.

"Sehubungan itu, saya menyeru supaya lebih banyak majikan tampil bagi memberi peluang kedua kepada golongan ini untuk meneruskan kehidupan baharu selepas menjalani hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani Nota Kolaborasi (NoC) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan JPM di Wisma Perkeso di sini pada Khamis.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, sejak 2021 hingga Mac lepas, seramai 588 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney telah mendapat tawaran pekerjaan menerusi inisiatif seperti Program Penempatan Penghuni Bebas Lesen dan Program Re-Entry@MyFutureJobs.

"Jumlah itu melibatkan 409 bekas banduan, 44 orang yang diparol dan orang diselia, manakala bakinya melibatkan penghuni Sekolah Henry Gurney," katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata, tenaga kerja asing dari Kemboja dijangka meningkat hasil dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemboja pada 27 Mac lepas.

Dalam lawatan kerja yang turut disertai beliau itu, katanya, Kemboja bersetuju memberikan latihan dan pendedahan terhadap tenaga kerja mereka sebelum dihantar ke Malaysia.

Menurutnya, mengikut rekod kementerian itu, setakat ini terdapat seramai 4,422 pekerja Kemboja di negara ini dengan 926 orang daripadanya merupakan pekerja domestik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!