'Arwah Rubiah pesan jaga anak-anaknya jika dia tiada'
DUNGUN - Empat anak wanita yang maut dipercayai dipukul suaminya pada Rabu akan dijaga oleh keluarga bekas mentuanya.
Wan Zaini Wan Abdullah, 60 berkata, bekas menantunya itu pernah berpesan supaya menjaga anak-anaknya jika dia meninggal dunia.
Katanya, pesanan itu diberitahu kepada bekas adik iparnya, Nu Fadzzilah Aziz, 32
"Arwah beritahu dekat anak saya kalau dia mati dia tak harapkan (percaya) orang lain untuk jaga anak dia. Dia harap dekat keluarga mak cik.
"Sebelum ni dah ada anak dia yang kita jaga. Dah dua orang anak dia duduk dengan mak cik dan anak-anak mak cik," katanya ketika ditemui pemberita, selepas selesai menyemadikan jenazah Allahyarham Rubiah, di sini, pada Khamis.
Wan Zaini berkata, empat beradik berusia 5 hingga 11 tahun itu akan dibawa pulang dan tinggal bersamanya di Tangga Batu, Melaka.
Menurut Wan Zaini, dua lagi anak lelakinya berusia 18 dan 15 tahun akan dijaga bekas suaminya buat sementara waktu termasuk bayi berusia 18 bulan.
Sementara itu, jenazah Rubiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, Dungun kita-kira jam 11.30 pagi pada Khamis.
Pada Rabu seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dipercayai dipukul menggunakan tukul besi.
Difahamkan, ketika kejadian hanya pasangan suami isteri itu serta seorang anak mereka berusia tiga bulan berada di rumah berkenaan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, Allahyarham Rubiah mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu sebelum berpisah dengan suami pertamanya, Mohd Radzi Aziz, 38.
Allahyarham dikurniakan seorang anak berusia tiga bulan selepas berkahwin semula kira-kira setahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!