Cooper masih dapat kepercayaan
PEMILIK Nottingham Forest, Evangelos Marinakis secara terbuka mengekalkan sokongan terhadap pengendali Steve Cooper biarpun kelab berdepan prestasi buruk dalam Liga Perdana Inggeris.
Namun begitu jutawan dari Greece itu tetap mengingatkan Cooper supaya segera menyelesaikan masalah prestasi yang membelenggu kelab yang bergelut di zon penyingkiran tersebut.
“Sejujurnya tiada siapa yang menafikan bahawa kelab berada pada kedudukan sukar dalam Liga Perdana Inggeris, tetapi kami ingin mengesahkan Steve Cooper kekal pengurus Nottingham Forest.
“Ya, kami semua kecewa persembahan baru-baru ini dan sangat jelas banyak kerja rumah perlu dilakukan segera. Tidak ada masa untuk melayan gangguan, khabar angin dan spekulasi.
“Masa yang ada kini adalah untuk kerja keras, keazaman, komitmen daripada Steve dan pemain bagi mendapatkan keputusan yang kami perlukan dalam memastikan Forest terus kekal di saingan Liga Perdana Inggeris,” kata Marinakis yang juga pemilik kelab Greece, Olympiacos.
Sebagai rekod, Forest melakar kekalahan terbaharu apabila tewas 2-1 kepada Leeds United di Elland Road pada Rabu sekaligus menyaksikan anak buah Cooper tidak menang dalam lapan perlawanan terakhir liga.
Keputusan itu menyaksikan Forest kini menduduki tempat ke-17 dalam kedudukan liga dengan 27 mata, sama seperti tiga kelab lain, dan hanya keluar dari zon penyingkiran berdasarkan perbezaan gol yang lebih baik daripada Bournemouth.
Kekalahan ke-14 selepas mengharungi 28 perlawanan menimbulkan keraguan mengenai masa depan Cooper di City Ground, apabila terdapat beberapa laporan media mendakwa pengendali dari Wales itu berkemungkinan menjadi pengurus Liga Perdana ke-13 yang dipecat musim ini.
Forest akan berdepan kelab tangga ketujuh, Aston Villa di Villa Park pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!