Polis serbu premis simpan bunga api, mercun
SHAH ALAM - Polis merampas bunga api dan mercun bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Seroja, Sepang pada Rabu sekitar jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Seroja 3 kerana dipercayai dijadikan tempat penyimpanan bunga api dan mercun.
Katanya, pemilik premis merupakan seorang perempuan berusia 33 tahun dan hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan menemukan bunga api dan mercun pelbagai jenama.
"Semakan mendapati pemilik premis tidak memiliki lesen mengikut Peraturan 17 (Magazin sementara) Peraturan Bahan Letupan 1923 iaitu permit menyimpan bunga api atau mercun.
"Suspek didapati telah melanggar syarat permit sepertimana ditetapkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, polis telah menahan pemilik premis untuk siasatan lanjut dan merampas kesemua bunga api dan mercun yang terdapat dalam premis tersebut.
Jelasnya, rampasan tersebut turut melibatkan bunga api atau mercun yang bersyarat tetapi tiada kelulusan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!