Harimau Malaya kini ranking ke-138 dunia
SKUAD bola sepak Malaysia melonjak tujuh anak tangga dari kedudukan ke-145 dunia ke-138 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.
Peningkatan itu disumbangkan kiraan mata ketika berjaya mara ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2022 selain kejayaan menumpaskan Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan pada bulan lalu.
Harimau Malaya memungut 1082.13 mata, naik 15.53 mata berbanding 1066.6 mata pada kemas kini terakhir pada 22 Disember tahun lalu.
Di peringkat Asia, Malaysia berada di tangga ke-25 daripada 46 negara manakala di peringkat Asean, skuad kendalian Kim Pan-gon itu di kedudukan keempat di belakang Vietnam (95), Thailand (114) dan Filipina (136).
Kedudukan ke-138 dunia itu menyamai kedudukan skuad kebangsaan pada 2011 selepas memenangi Piala AFF 2010 di mana Malaysia pernah berada di kedudukan itu sebelum mengalami kejatuhan ke tangga ke-178 pada tahun 2018.
Sementara itu, Argentina memintas Brazil untuk berada di kedudukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1840.93 mata dan Perancis di kedudukan kedua dengan 1838.45 mata.
Brazil pula di kedudukan ketiga dengan 1834.21 mata disusuli Belgium (1792.53 mata) dan England (1792.43 mata)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!