Peguam Negara bantah semakan kehakiman beku akaun Bersatu

Peguam Negara bantah semakan kehakiman beku akaun Bersatu
Peguam Negara bantah semakan kehakiman beku akaun Bersatu
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Peguam Negara mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, terhadap permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung tindakan pembekuan akaun bank parti itu.

Semakan itu adalah untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun berkenaan.

Ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, perintah pembekuan ini, tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Ini kerana katanya, kuasa untuk mengeluarkan perintah berkenaan adalah salah satu mekanisme siasatan.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan undang-undang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk membekukan harta seseorang mahupun pihak terlibat termasuk parti politik, sekiranya memenuhi syarat.

“Permohonan kebenaran ini perlu ditolak kerana akaun bank itu menjadi asas dalam pertuduhan jenayah.

"Kami berhujah bahawa dengan memberi kebenaran semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan berkenaan akan membawa kepada campur tangan mahkamah sivil dalam melaksanakan kuasa penyeliaannya terhadap bidang kuasa mahkamah jenayah,” katanya.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan yang mewakili Bersatu berkata, perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan terbabit boleh dicabar dalam semakan kehakiman.

Ini kerana katanya, isu yang dibangkitkan bukan remeh atau menyusahkan.

Beliau berkata, pihak selaku responden melakukan salah laku dari segi prosedur yang mewajarkan mahkamah mendengar merit permohonan semakan itu.

"Perintah pembekuan akaun tidak pernah diserahkan kepada Bersatu meski pun selepas pelbagai permohonan dikemukakan sebelum kebenaran semakan kehakiman difailkan.

"Siasatan SPRM dilakukan semata-mata sebagai asas untuk mengeluarkan perintah pembekuan akaun terhadap parti ini dan larangan perjalanan terhadap Pengerusi PN (Perikatan Nasional), Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa disertai asas yang kukuh," katanya.

Dalam prosiding ini, Bersatu turut memohon kebenaran mencabar keputusan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Muhyiddin.

Mendengar hujahan berkenaan, Ahmad Kamal menetapkan 17 Mei depan untuk keputusan permohonan berkenaan.

Pada 8 Mac lalu, Setiausaha Eksekutif Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti berkenaan memfailkan semakan kehakiman itu melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co.

Ia menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, selaku respoden pertama hingga keempat.

Pemohon turut menamakan 16 lain sebagai responden keenam hingga ke-20. Menerusi permohonan itu, Bersatu mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.

Menurut dokumen mahkamah, Bersatu mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Pemohon mendakwa, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.

Sehubungan itu, pemohon memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri dan atau timbalan perdana menteri yang meminta pegawainya memulakan siasatan terhadap Bersatu, menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah.

Ia turut memohon perintah interim supaya Muhyiddin dibolehkan bergerak bebas dan membuat perjalanan ke luar negara tanpa sekatan khususnya sebagai penceramah utama di 1st Annual Conference of the Global Council for Political Renewal (GCPR) pada 14 dan 15 April ini.

Bersatu juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan perintah pembekuan yang dikeluarkan ke atas parti itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia turut memohon perisytiharan bahawa sebagai parti politik yang berdaftar secara sah, ia mempunyai hak dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan dan hak asasinya tidak boleh dilanggar secara salah untuk tujuan kolateral.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!