Sanusi kekal Presiden KFA

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal menyandang jawatan tersebut bagi penggal 2022-2026 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA pada Khamis.

Timbalan Presiden KFA juga kekal milik Datuk Abdul Rahman Abdullah manakala jawatan Naib Presiden KFA dimenangi Datuk Mohd Salleh Saidin, Muhammad Radhi Mat Din dan Datuk Syed Yusoff Syed Othman.

Jawatankuasa Eksekutif KFA pula dimenangi oleh Ben Ying Shen, Mohd Aizad Roslan, M Youvarajan, Jusrianuar Jamarudin, Badrul Hisham Sulaiman, Shafferi Rejab, Mohd Farhan Ahmad, Idzham Nordin dan kuota wanita milik Nor Nadia Ahmad Shukri yang menang tanpa bertanding.

Muhammad Sanusi (kanan) mempengerusikan Kongres Tahunan KFA ke-47 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis. - FOTO KFA
Muhammad Sanusi (kanan) mempengerusikan Kongres Tahunan KFA ke-47 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis. - FOTO KFA

“Seramai lapan ahli eksekutif (exco) telah dipilih dan saya selaku Presiden KFA telah diberi peluang untuk melantik dua lagi exco tambahan bagi jawatan Setiausaha dan Timbalan Setiausaha. Lantikan itu akan dibuat pada mesyuarat ahli jawatankuasa pertama selepas hari raya Aidilfitri nanti.

“Sepatutnya, pemilihan ahli jawatankuasa penggal 2022-2026 ini dibuat pada November tahun lalu tetapi ada isu pemutihan di mana terdapat ahli gabungan yang belum mendaftar dengan Pesuruhjaya Sukan maka ia ditangguh ke tahun ini,” kata Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas Kongres Tahunan KFA ke-47 di Wisma Darul Aman, dekat sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu pertandingan mencipta logo akan diadakan sempena Sambutan 100 Tahun KFA pada tahun hadapan.

“Pada 2024 genap 100 tahun KFA, satu legasi yang sangat panjang yang ada pasang surut, turun naiknya. Tetapi, ada juga perkembangan menarik antaranya kita memiliki Wisma KFA sendiri di mana bangunan yang terletak berhampiran Stadium Darul Aman itu sedang dalam proses renovasi.

“Banyak lagi benda baharu yang kita umumkan dan diharapkan KFA akan terus maju jaya.

"Selain itu, seluruh kepimpinan ahli jawatankuasa penggal baharu ini berharap sukan bola sepak Kedah dan Malaysia akan terus berkembang secara sihat dengan semangat kesukanan yang tinggi,” ujar beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!