Kadar kemasukan TVET masih rendah - Syed Saddiq

Syed Saddiq (gambar kecil) memberirahu Kadar kemasukan ke institusi Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih rendah di negara ini. - Foto 123RF
Syed Saddiq (gambar kecil) memberirahu Kadar kemasukan ke institusi Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih rendah di negara ini. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kadar kemasukan ke institusi Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih rendah di negara ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kadar kemasukan ke institusi berkenaan sebanyak 50 peratus sahaja walaupun pelbagai manfaat diterima termasuk elaun.

"Isu sama dibangkitkan di parlimen iaitu bina institusi TVET dan apabila dibina akhirnya kadar kemasukan sangat rendah dan institusi itu terpaksa ditutup. Di Malaysia ini ada ratusan institusi TVET dan pergi lihat seperti Giat Mara di kawasan-kawasan parlimen masih beroperasi atau tidak dan banyak sudah ditutup.

"Lihat pula kadar kemasukan TVET sebagai contoh sebelum ini Kementerian Belia Sukan ada 22 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) tetapi kadar kemasukan 50 peratus sahaja.

"Padahal apabila masuk institusi TVET ini bukan sahaja diberi subsidi 100 peratus dan percuma malah setiap bulan diberi elaun sebanyak RM150 hingga RM250," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Siswa bersama Syed Saddiq yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar di Kompleks Karangkraf pada Khamis.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kadar kebolehpasaran pelajar TVET setelah menamatkan pengajian lebih tinggi berbanding graduan dari universiti terbaik Malaysia.

"Memang betul tangga gaji pemula itu rendah tetapi lihat lima tahun selepas itu di mana keupayaan untuk naik tangga ekonomi sosial sangat cepat sebab ia teknikal set yang tidak mudah digantikan," ujarnya.