Aliah Qistina ditemui selamat, tinggal bersama rakan di Perak
JASIN - Pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di sini, yang dilaporkan hilang dari rumahnya sejak pertengahan Mac lalu, ditemui selamat di Kampar Perak.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, Aliah Qistina Budiyanto,16, ditemui dalam keadaan selamat bersama seorang rakan berusia 20-an dalam sebuah pangsapuri pada 3.30 petang, Rabu.
Menurutnya, soal siasat yang dilakukan terhadap remaja perempuan itu, dia mengaku secara sukarela mengikut rakannya yang berasal dari Kedah dan tinggal bersama sejak dilaporkan hilang pada 18 Mac lalu.
"Dia juga mengakui tidak dicederakan sepanjang tempoh dia dilaporkan hilang oleh keluarganya.
"Rakan lelakinya itu turut membantu polis sebelum gadis tersebut dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan diambil ibu saudaranya pada hari sama ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Jelasnya, remaja terbabit berjaya ditemui hasil kerjasama pasukan polis di IPD Kampar Perak dan orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat.
"Siasatan lanjut berhubung kes ini akan diteruskan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain," katanya lagi.
Sinar Harian pada 27 Mac lalu menyiarkan seorang ibu buntu memikirkan ke mana hilangnya anak gadisnya yang berusia 16 tahun sejak 17 Mac lalu selepas kali terakhir dilihat berada di rumah.
Sebagai ikhtiar, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 41, yang juga peniaga nasi lemak bersama suaminya akan ke kawasan tumpuan ramai setiap hari untuk mengedarkan poster gambar anak sulung mereka yang hilang itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!