Bazar Ramadan terpanjang di Kedah

Para pengunjung memeriahkan Bazar Ramadan Wisma Ria di Sungai Petani Kedah.
Para pengunjung memeriahkan Bazar Ramadan Wisma Ria di Sungai Petani Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bazar Ramadan Wisma Ria yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa mempunyai 251 tapak jualan dan disertai 185 peniaga dikatakan antara terpanjang di Kedah.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Nur Afeeka Syaza Ishak berkata, setakat ini, bazar didirikan sepanjang kira-kira 500 meter itu meriah dihadiri pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, antara menu yang menjadi tumpuan termasuk martabak, nasi ulam, nasi kerabu, pelbagai jenis minuman, arnab panggang dan kuih-muih.

Suasana meriah dengan kehadiran pengunjung di Wisma Ria yang dikatakan terpanjang di Kedah.
Suasana meriah dengan kehadiran pengunjung di Wisma Ria yang dikatakan terpanjang di Kedah.

"Tidak hanya menyediakan juadah popular masyarakat utara, malah bazar Ramadan yang menjadi tumpuan penduduk Sungai Petani itu turut menawarkan pelbagai menu tradisional pantai timur, selatan malah masakan barat dan menu Thailand ada dijual," katanya.

Jelas Nur Afeeka, selain di Wisma Ria, MPSPK juga mengendalikan tujuh bazar lain antaranya di Kompleks Seri Temin, Jalan Padang, Taman Ria Jaya, Taman Sejati Indah, Bukit Selambau, pekan Merbok dan SP Walk.

"Kita sentiasa menempatkan anggota penguat kuasa di kesemua bazar yang dikendalikan MPSPK untuk memastikan operasi berjalan lancar.

"Selain itu, kita akan memberi perhatian sekiranya terdapat aduan yang dikemukakan di tapak bazar bagi memudahkan urusan peniaga dan pengunjung," katanya.

Difahamkan, terdapat 23 tapak bazar lain termasuk Bazar Aidilfitri dianjurkan sekitar daerah Kuala Muda, namun diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!