RM1.8j hari pertama diskaun trafik
SHAH ALAM - Sebanyak RM1.8 juta dikutip melibatkan 14,778 saman diselesaikan pada hari pertama diskaun 50 peratus saman trafik di seluruh Selangor, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, diskaun sempena minggu bersama pelanggan JSPT Selangor Disember 2018 di semua IPD di Selangor kecuali KLIA mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Menurutnya, secara keseluruhan kaunter semak dan pembayaran saman berjalan lancar.
"Proses pembayaran saman berjalan perlahan pada waktu pagi akibat gangguan capaian ke server COPS B. Bagaimanapun keadaan mulai lancar jam 1 tengah hari.
"Semua IPD menyediakan tempat menunggu dan menggunakan sistem nombor giliran," katanya.
Katanya, orang awam berpeluang menjelaskan saman tertunggak sehingga Sabtu ini bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
"IPD KLIA tidak melaksanakan program ini kerana masih belum diperuntukkan kod daerah untuk pembayaran.
"Jenis kesalahan yang dikecualikan dari potongan diskaun adalah berstatus NC, kes bicara mahkamah, waran tangkap 2018, kemalangan, Ops Selamat 2018, guna alat telekomunikasi dan lori," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!