Penerjun muda negara sedia galas cabaran

Suh Chyn (dua dari kanan) dan jurulatih terjun, Wee Chiek (dua dari kiri) bersama Syafiq (kiri) dan Kimberly Bong ketika sidang akhbar Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil pada Khamis.
Suh Chyn (dua dari kanan) dan jurulatih terjun, Wee Chiek (dua dari kiri) bersama Syafiq (kiri) dan Kimberly Bong ketika sidang akhbar Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil pada Khamis.
A
A
A

PENERJUN muda negara sedia mengalas cabaran untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.

Biarpun tanpa kelibat Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri enam penerjun pelapis tetap berkobar-kobar mengharumkan nama negara pada temasya dwitahunan tersebut.

Pada edisi di Hanoi, Vietnam lalu, skuad terjun membuktikan mereka selaku pasukan gergasi Asia Tenggara apabila menyapu bersih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa.

Bagaimanapun, senario berbeza di Kemboja apabila Persekutuan Renang Malaysia (MS) mempertaruhkan enam atlet pelapis dan dua penerjun berpengalaman iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim.

Menurut pengurus pasukan, Ong Suh Chyn, keputusan mereka menghantar barisan atlet muda bagi menyahut cabaran Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi pendedahan di pentas antarabangsa.

“Ini adalah pendedahan pertama penerjun muda untuk merasai pertandingan di peringkat antarabangsa. Enam penerjun pelapis dan dua lagi atlet elit.

“Kita meletakkan harapan tinggi kepada atlet pelapis ini dan mereka mampu menaiki podium pada temasya dwitahun itu,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas sasaran skuad terjun mampu mengulangi pencapaian di Hanoi edisi lalu, Suh Chyn berkata, ia berubah kerana acara pun berkurangan berbanding temasya lepas.

“Berdasarkan sasaran awal, kita letakkan penerjun negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Syafiq Puteh percaya mereka mampu melakar kejayaan berdasarkan Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) di Bukit Jalil minggu lalu.

“Berdasarkan persembahan pada MIAG, saya yakin mereka mampu mempamerkan aksi terbaik dan membawa pulang pingat ke tanah air,” katanya yang meraih emas dalam acara 3 meter papal anjal individu lelaki di Hanoi tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!