Individu guna akaun palsu untuk menghendap berdepan tindakan

Ramkarpal Singh - Foto Bernama
Ramkarpal Singh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana individu yang menggunakan akaun palsu untuk melakukan perbuatan menghendap boleh dikenakan tindakan sekiranya identiti mereka dapat dikesan melalui sistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tindakan itu susulan Dewan Negara pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan menghendap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, siasatan tetap akan diteruskan walaupun hanya menggunakan akaun palsu.

"Dalam hal ini, SKMM perlu mengambil langkah proaktif untuk mengesan siapakah di belakang akaun palsu yang diwujudkan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Negara di sini pada Khamis dengan perbahasan sebelum itu turut disertai oleh enam Senator.

Ramkarpal berkata, isu menghendap bukan lagi satu isu yang baharu memandangkan banyak negara telah memperkenalkan undang-undang berkenaan bagi tujuan menangani masalah itu yang semakin membimbangkan.

"Perbuatan menghendap hari ini bukan sahaja melibatkan perbuatan fizikal semata-mata seperti dahulu, tetapi turut dilakukan menggunakan media sosial serta menggunakan alat pengesan seperti alat sistem pengesanan global dan juga dron,” katanya.

Menurut Ramkarpal, elemen yang perlu dibuktikan berlakunya perbuatan menghendap mengikut Seksyen 507A ini, perbuatan itu haruslah berulang sekurang-kurangnya dua kali diikuti terdapat gangguan dan mangsa berada dalam keadaan stres atau ketakutan.

Selain itu, Ramkarpal berkata, sekiranya siasatan menunjukkan penghendap melakukan hendapan atas arahan orang lain, orang itu juga boleh dituduh di bawah Seksyen 34.

"... dalam setiap kesalahan prinsip, jika ada dalang di sebaliknya, dia boleh didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan utama itu,” katanya.

Turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 melibatkan peruntukan perlindungan kepada mangsa berhubung perlakuan menghendap.

Terdahulu ketika membentangkan RUU itu, Ramkarpal berkata, antara pindaannya melibatkan Fasal Satu iaitu memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta berkenaan.

"Kedua memasukkan bab dan peruntukan baharu ke dalam Akta 593 untuk memberi mahkamah kuasa atas permohonan, untuk mengeluarkan satu perintah perlindungan terhadap seseorang yang sedang disiasat atau dituduh di bawah 507A Kanun Keseksaan.

"Seterusnya Fasal Tiga yang memperuntukkan hukuman kepada mana-mana pihak yang ingkar arahan perlindungan iaitu pemenjaraan hingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Persidangan bersambung Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!