Dewan Negara lulus RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak
KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 bagi memberikan perlindungan yang lebih meluas kepada golongan itu dalam melalui proses kehakiman.
Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said setelah dibahaskan enam Senator.
Azalina ketika menggulung perbahasan berkenaan berkata, pindaan yang dilakukan itu merupakan fasa satu daripada pindaan-pindaan yang akan dilakukan bagi memperkasakan lagi akta berkenaan.
"Pada sesi yang akan datang, kita akan buat pindaan fasa dua terutamanya terhadap elemen undang-undang membabitkan kolaborasi.
"Tetapi ia memerlukan banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Majlis Peguam Negara (MPN) kerana bagi pihak MPN ada beberapa elemen yang perlu mereka tekankan kalau kita buat pindaan," katanya.
Katanya, pindaan itu juga dibuat bagi memastikan akta berkenaan yang tidak pernah dipinda selama 16 tahun, supaya kekal relevan dan selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
"Kerajaan berharap dengan menjadikan sistem keadilan di Malaysia lebih mesra kanak-kanak ia akan menggalakkan pelapor oleh kanak-kanak dan keluarganya dengan isu seperti stigma dan budaya malu dapat dibendung secara berperingkat,” katanya.
Rang undang-undang itu antara lain juga bertujuan menaikkan had umur kanak-kanak daripada 16 kepada 18 tahun, memasukkan peruntukan berhubung dengan pendengaran khas (special hearing) bagi saksi kanak-kanak memberikan keterangan serta melarang soalan tidak wajar kepada mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!